Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 November. - Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching menzahirkan rasa kesyukuran selepas selesainya pembacaan 30 juz Al-Quran dengan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran berlangsung di masjid berkenaan.
Hadir dan turut menyertai majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga Penaung AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan disusuli dengan bacaan Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas yang dikepalai oleh Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Hanching, Awang Haji Abdul Malik bin Haji Jumaat yang juga membaca Doa Khatam dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan Doa Tahlil.
Majlis juga diserikan dengan laungan Dikir Marhaban oleh peserta khatam dan para hadirin.
Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Hanching berkata ibadah membaca Al-Quran diadakan setiap hari selepas Sembahyang Fardu Subuh dan Sembahyang Fardu Magrib.
“Ibadah membaca Al-Quran ini telah menjadi budaya yang sangat positif dan sangat mengalakkan di masjid ini dan saya yakin akan meningkatkan kecintaan kepada Al-Quran dan memperkukuhkan lagi perpaduan di kalangan AJK masjid, jemaah dan di kalangan penduduk di situ," jelasnya.